Powered By Blogger

Thursday 10 October 2013

Hala Tuju dan Peranan Pemuda


Apabila membicarakan topik hala tuju anak muda pastinya kita akan rujuk kembali rukun pemuda Imam Hassan al-Banna iaitu :

1. Keimanan asasnya adalah hati yang suci
2. Keikhlasan asasnya jiwa yang bersih
3. Semangat asasnya keinginan yang kuat
4. Usaha asasnya adalah keazaman yang membara.


Keempat-empat elemen ini hanya wujud dalam diri seorang yang bergelar pemuda ,sama ada dia meletakkan elemen-elemen ini ditempat yang sepatutnya atau sebaliknya. Keterujaan pemuda dalam perjuangan dapat kita saksikan dalam pelbagai senario-senario semasa contohnya:

Perjuangan mahasiswa kearah memperjuangan hak mereka di kampus, mereka bangkit bersemangat mengumpulkan,menyedarkan mahasiswa-mahasiswi untuk turut sama memperjuangankannya. 

Kita dapat lihat juga perjuangan pemuda dalam negara, mereka ingin mengembalikan dan menuntut hak rakyat dan keadilan yang sewajarnya, jiwa-jiwa pemuda ini yang terus menerus bersemangat melaungkan slogan-slogan kampus anak muda, negara anak muda, semangat pemuda, hak pemuda, dan pelbagai lagi yang melibatkan para pemuda.

Tetapi malangnya, bila menyentuh isu institusi masjid/surau seolah-olah semua pemuda dalam dunia ini telah mati, diam membisu, tidak ada lagi kelibat-kelibat anak muda seperti apa yang diperjuangkan di atas, kemana hilangnya pemuda? menjadi tanda tanya, sedangkan dalam rukun pemuda sepatutnya keimanan dan keikhlasan antara yang utama yang perlu dititik beratkan dalam peranan seorang pemuda. Sepatutnya pemudalah yang mengimarahkan institusi masjid/surau bukannya mereka yang sudah berumur, kerana pemuda memiliki kekuatan, kesihatan yang baik, kecergasan, kefasihan, semangat, atau mungkin pemuda hanya melihat institusi masjid/surau semata-mata untuk solat sahaja?.

Sedangkan sirah telah pun menceritakan kepentingan dan fungsi institusi masjid/surau antaranya terbahagi kepada tiga iaitu :


Fungsi Zikir : boleh dijelaskan sebagai tempat untuk sujud, solat berjemaah, tempat berzikir untuk menyucikan hati, menenteramkan jiwa, dan mengkhusyukan Qalbu, sehingga seseorang boleh bersikap santun dan rendah hati.Merasa diri benar-benar menjadi hamba kepada Sang Pencipta.
Fungsi Fikir: sebagai gedung ilmu, di mana majlis-majlis ilmu diadakan secara percuma, diletakkan bahan-bahan bacaan sebagai rujukan,bacaan al-quran  bertadarus dijalankan. Dengan menguasai ilmu agama, pemuda diharapkan lebih faham dan jelas akan perjuangan  dan peranan mereka sehingga mampu menyebarkannya dalam memajukan peradaban manusia.

Fungsi Sosial: di mana kita boleh berdiskusi, berdialog, mencapai kata sepakat dalam memperjuangankan islam tidak kira sama ada kerajaan atau pembangkang apabila masuk sahaja ke masjid/surau mereka tidak ada lagi jurang perbezaan kerana mereka menghadap kiblat yang sama, berimamkan imam yang sama, berada di saf yang sama dan apabila mengadakan perbincangan pasti menghasilkan keputusan yang sama khusus untuk perjuangan islam.

Tetapi semuanya tidak lagi berfungsi seperti di atas, kalau ada pun hanya segelintir pemuda yang masih istiqamah ,faham dan jelas matlamat perjuangannya bukan sekadar laungan semangat semata-mata. Ayuh, untuk permulaan ini, kita imarahkan masjid/surau untuk solat berjemaah dahulu kerana kita ada daya dan kemampuan untuk menghimpunkan berjuta-juta belia di stadium dan di jalanan jadi kita juga berkemampuan untuk menghimpunkan diri kita berjemaah di masjid/surau berdekatan. Tidak ada caj yang dikenakan seperti kita ke konsert atau pawagam, tidak ada tenaga yang banyak diperlukan,tidak ada keletihan bahkan hati menjadi tenang dan segala kemudahan Allah s.w.t berikan kepada mereka yang rajin solat berjemaah.

Sabda Rasulullah s.a.w : Solat Jemaah lebih utama dua puluh tujuh kali ganda darjatnya dibandingkan solat bersendirian" (H.R. Bukhari & Muslim)

Bagi pemuda-pemuda yang sihat tubuh badan tempat kita bukan di rumah atau di bilik tetapi di masid/surau, usahalah untuk bangun dan tepati masa solatnya, dengan solat berjemaah kejayaan terbuka luas bagi kita, perjuangankanlah apa isu sekalipun yang menepati syariat islam pasti diberi kemudahan dan kemenangan.

Daripada Abu Darda r.a bahawa beliau berkata aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda,"Sekiranya terdapat tiga orang di sebuah kampung atau padang pasir dan mereka tidak mendirikan solah berjemaah maka pasti syaitan akan menguasai mereka.Oleh itu,hendaklah kamu mengambil berat tentang solah berjemaah kerana sesungguhnya kambing yang bersendirian akan dimakan oleh serigala." (Hadith Riwayat Imam Ahmad,Abu Daud dan Nasai).
Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,"Sesungguhnya aku benar-benar berhasrat untuk menyuruh anak-anak muda mengumpul kayu api untukku,kemudian aku ingin pergi kepada mereka yang bersolah di rumah tanpa sebarang keuzuran lalu membakar rumah mereka." (Hadith Riwayat Imam Muslim,Abu Daud,Ibnu Majah dan Imam Tirmizi).

Jika isu –isu lain yang menjadi keutamaan dalam perjuangan kita dan mengambil remeh soal institusi masjid/surau pastinya perjuangan kita akan gagal dan tidak akan berjaya sama sekali,launglah semangat, berpidatolah sehebat-hebatnya, kumpul lah berjuta-juta pemuda sekalipun, kalau sekadar tiada kefahaman dan hanya semangat semata-mata pasti akan menemukan titik kegagalan dan terkubur begitu sahaja.



Akhir kata, setiap dari kita mempunyai kehebatan tersendiri kerana itu kita dilahirkan dari berjuta-juta yang berlumba-lumba untuk kedunia, Allah memilih kita yang berjaya sampai di atas muka bumi, maka cari lah kehebatanmu dan manfaatkanlah untuk agamamu, jangan angkuh dan jangan sombong, kerana setiap pemberian adalah untuk dimanfaatkan dan gunalah sebaik mungkin.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment