Powered By Blogger

Thursday 3 October 2013

Tazkirah Diri, Tazkiyah Hati

     

    Antara aktiviti malam yang sering saya lakukan sebelum tidur adalah "tazkirah diri" atau lebih mudah difahami sebagai monolog diri, masa yang diperlukan hanya 5-10 minit tanpa menggunakan sebarang bahan,teks,skrips atau buku. Setiap kata-kata yang dilafazkan adalah spontan dan lebih merujuk kepada  diri sendiri supaya lebih beringat dan berhati-hati sebelum melakukan sebarang tindakan kerana selalunya kita yang beri peringatan, nasihat dan teguran kepada orang lain, kali ini biar kita beri peringatan 100% kepada diri sendiri supaya lebih berfikir.

     Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)? (Surah al-Qamar:22).

     Salah satu topik yang masih terngiang-ngiang di minda saya yang ingin saya kongsikan adalah mengenai balasan Allah s.w.t atas setiap perbuatan yang kita lakukan secara sengaja atau tidak sengaja. Bayangkan selama kita hidup, berapa banyak sudah maksiat dan keingkaran perintah Allah s.w.t yang telah kita lakukan? Adakah setiap maksiat yang kita lakukan Allah s.w.t bayar secara tunai kepada kita? Bayangkan lagi seandainya setiap maksiat dibayar dengan tunai seperti mereka sengaja meninggalkan solat Allah s.w.t balas dengan hukuman dipekakkan telinga tidak lagi mampu mendengar seruan azan, mereka yang kerap melihat gambar atau video lucah, dibutakan mata tidak sempat memadam "history",mereka yang enggan menutup aurat dengan sempurna dibayar dengan penyakit kulit yang teruk, mereka yang berzina dibayar dengan seluruh tubuh menjadi lumpuh dan yang paling hina apabila nyawa direntap saat asyik melakukan maksiat.



    Dan demi sesungguhnya! Kami telah binasakan orang-orang yang sama keadaannya seperti kamu; maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran? (Surah al-Qamar: 51).

    Semua balasan di atas adalah tidak mustahil boleh berlaku bila-bila masa bahkan lebih keras dari itu kerana ramai yang melakukan maksiat sudah pun dibayar dengan tunai tanpa menunggu hukuman di akhirat tetapi dalam masa yang sama masih ramai yang diberi peluang untuk kembali bertaubat sama ada kita sedar atau tidak peringatan berulang kali diberikan.

   Kita rasa manisnya maksiat atau dosa tersebut kerana belum pernah merasai apa-apa balasan atau hukuman keras yang Allah timpakan pada kita, jadi kita fikir ada masa untuk bertaubat, kita fikir kematian khusus untuk mereka yang sudah tua atau berpenyakit, seolah nyawa masih panjang dan mampu untuk hidup 20-30 tahun lagi.Golongan ini adalah golongan yang buta hati dari segala peringatan bahkan ada yang memperlekehkan segala perintah Allah s.w.t walaupun tidak diucapkan dengan perkataan tetapi melalui perbuatan seolah-olah tidak yakin dengan ada nya Allah s.w.t. 

      Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut - mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (surah Al-Hajj : 46).



   Saat ini, segala perbuatan dosa tidak lagi terasa kotor atau jijik kerana ia indah dan semanis kurma gitu, sehinggalah sampai satu tahap di mana kita akan merasa berat atau malas untuk melaksanakan kewajipan seorang muslim walaupun dia faham dan jelas mengenai kewajipan seorang muslim seperti solat, menutup aurat,batas pergaulan laki dan perempuan, pandangan mata dan sebagainya, dia dah pun belajar dan faham tetapi sebabkan dosa membuatkan diri jadi malas dan terbeban dengan segala kewajipan dan akhirnya meninggalkan segalanya.

     Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (Surah al-A'raf: 179).

     Betapa kotornya hati yang disalut dengan maksiat dan dosa ibarat arang batu yang hitam dan berdebu, tidak ada lagi cahaya keimanan melainkan dia kembali menuju jalan ke syurga Allah s.w.t dan membersihkan jiwanya kembali mengabdikan diri kepada Penciptanya sebelum terlambat.

  Alhamdulillah, ramai sahabat-sahabat mula kembali tersedar dan meninggalkan arena kejahilan dan kegelapan ini termasuk diri yang menulis ini, segala sejarah hitam biarkan terkubur berlalu pergi, usah kita ulang kembali memori lama. Apa yang sepatutnya kita lakukan sekarang adalah meniti di jalan yang benar,membina diri menjadi seorang muslim dan mukmin yang hebat, mengenali musuh-musuh yang siap sedia menyerang dari setiap penjuru,seru dan ajak kawan-kawan lain untuk turut sama berada di jalan ini. Inilah jalan dakwah, di mana proses pertembungan antara haq dan batil, proses mempersiapkan diri menuju ke syurga Allah s.w.t kerana tidak ada istilah berselenang lenang atau selesa melainkan diri ini telah pun berada di sana.


      Segala isi kandungan tulisan ini adalah ilham spontan sebelum saya tidur untuk kembali berfikir dan merenung diri dan memperbaikinya untuk hari esok. Saya syorkan untuk sahabat-sahabat luangkan masa 5 minit sebelum tidur untuk kita fikirkan dan muhasabah diri, kerana manusia yang hebat tidak akan mengulangi kesilapan hari semalam dan bersedia untuk memperbaikinya untuk hari esok.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment