Powered By Blogger

Tuesday 17 September 2013

Kaedah Tarbiyyah Rasulullah : menarik untuk dicontohi

 

Agak agaknya macam mana lah Rasulullah s.a.w mentarbiyyah para sahabat sehingga mereka yang dahulunya berada dalam suasana jahiliyah berubah menjadi seorang yang hebat dalam islam dan menjadi pejuang islam mempertahankan agama Allah.

Jom kita rujuk dan selami sebuah karya yang ditulis oleh Dr. Ali al-Halawani merupakan Penolong Professor Linguistik dan Terjemahan, Universiti Sains dan Teknologi Mesir mengenai 12 kaedah Rasulullahs s.a.w mentarbiyah umat manusia.


Insyaallah pagi ni saya kongsikan 6 kaedah terlebih dahulu mengenai tarbiyah Rasulullah s.a.w.

Direkodkan dalam sirah, bahawa Rasulullah SAW menghantar surat kepada berbagai raja dan pemimpin untuk menyebarkan kalimah Allah dan ajaran Islam. Antara mereka yang menerima surat tersebut adalah Caesar, Ketua Empayar Rom Byzantin.

Dalam surat tersebut, Rasulullah SAW menggelarkan beliau sebagai, “Orang Hebat dari Byzantin” (A’dzhimu ar-Rum). Gelaran kemuliaan yang diberikan baginda ini adalah pengiktirafan kepada kehebatan Caesar – yakni dalam pandangan orang-orang Roman, bukan dalam pandangan baginda. Baginda juga mengungkapkan ayat Quran berikut dalam suratnya:

“Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah (Q3: 64)

Di sini, Rasulullah SAW telah mencontohkan beberapa perkara.

Pertama, baginda telah memuliakan penerima surat dan memberi penghormatan sewajarnya. Kedua, baginda mengungkapkan faktor persamaan antara penerima dan baginda sendiri.

Kehidupan Rasulullah SAW sangat melimpah dengan contoh-contoh sebegini, yang menunjukkan baginda sangat memahami bagaimana untuk memulakan hubungan dengan mad’u, menarik perhatian, menaut hatinya dan mula untuk mengajaknya kepada Islam atau mentarbiyahnya sekiranya dia sudah seorang Muslim.

Sungguh mengagumkan teknik dan kaedah yang digunakan Rasulullah. Sewajarnya, ini diikuti oleh mereka yang merasa terpanggil untuk mengikuti langkah-langkah baginda dan mengambil beban amanah yang besar ini.


Antara kaedah yang digunapakai oleh Rasulullah saw adalah seperti berikut:

1. Tarbiyah dengan menunjuk tauladan

“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.” (Q61:2-3)

Rasulullah tidak pernah mengajak kepada sesuatu, yang baginda tidak kerjakan dan baginda mengajarkan kepada Muslim semua untuk mengerjakan yang sama sesuai dengan makna ayat Quran di atas dan seumpamanya. Untuk menggambarkan kepentingan kaedah ini, kami ungkapkan satu contoh dari peristiwa Perjanjian Hudaibiyah. Apabila terma-terma perjanjian telah dimuktamadkan, Rasulullah saw berkata kepada para sahabat, “Bangunlah dan sembelihlah haiwan korban kamu dan bercukurlah!”. Tiada seorang pun yang bangun, dan arahan ini Rasullah ulang tiga kali.

Apabila jelas bahawa tiada seorang pun dari mereka yang bangun, baginda meninggalkan mereka dan bertemu Umm Salamah dan memberitahu kepadanya sikap para sahabat terhadapnya. Umm Salamah berkata, “Ya Rasulullah! Adakah anda mahu perintah anda dilaksanakan? Keluarlah dan jangan berkata sepatah kata pun kepada sesiapa sehinggalah anda telah menyembelih haiwan korban dan memanggil tukang rambut untuk cukur kepala anda”. Maka, Rasulullah berbuat demikian; baginda keluar tanpa berkata kepada sesiapa, sembelih haiwan korbannya dan memanggil tukang rambutnya untuk mencukur kepalanya. Para sahabat yang melihat keadaan tersebut mulai bangun, sembelih haiwan korban dan saling cukur kepala satu sama lain. Dan keadaan begitu kelam kabut, sehingga terdapat risiko mereka berbunuh sesama mereka” (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari)

2. Tarbiyah melalui soal jawab

Kaedah ini dibuktikan dalam hadis masyhur di mana malaikat Jibril datang kepada Rasulullah SAW, bertanyakan kepada baginda tentang iman, islam, ihsan dan Hari Kiamat. Rasulullah menjawab dengan terperinci dan malah memaklumkan bahawa orang yang bertanya itu adalah Jibril yang datang untuk mengajar para sahabat – dengan kaedah soal jawab dengan Rasulullah – tentang perkara-perkara agama (Hadis boleh dirujuk dalam riwayat Muslim)

3. Memberi syarahan dan khutbah

Rasulullah SAW selalu memberikan khutbah Jumaat; memberikan nasihat dan mengajarkan mereka agama. Baginda menyentuh tentang isu-isu harian yang berlaku dalam masyarakat Muslim dan tentang keperluan Muslim. Baginda juga menekankan kepada para sahabat tentang penyucian jiwa dan menautkan hati mereka kepada akhirat.

4. Berkala dalam syarahan dan khutbah

Rasulullah SAW juga biasa memberi syarahan pendek, sekali sekala demi memfokuskan perhatian Muslim terhadap sesuatu perkara penting atau demi mencegah sesuatu kejahatan. Baginda tidak melakukannya terlalu kerap kerana baginda tidak suka untuk menjemukan para sahabat dengan terlalu banyak syarahan dan khutbah. Para Sahabat sendiri mencontohi kaedah ini dengan mad’u mereka seperti yang diriwayat oleh Shaqiq yang berkata:
“Kami sedang duduk di hadapan pintu Abdullah (ibn Mas’ud) untuk menunggunya (keluar dan memberi khutbah kepada kita). Pada masa ini juga, berlalulah Yazid bin Muawiyah an-Nakha’i. Kami berkata: Beritahu kepadanya (Abdullah ibn Mas’ud) tentang kehadiran kami di sini. Beliau (Yazid) masuk dan Abdullah ibn Mas’ud dengan pantas keluar kepada kami dan berkata: “Aku telah dimaklumkan tentang kehadiran kamu di sini tetapi tidak ada yang menghalangi aku untuk keluar ke sini melainkan kerana aku takut akan menjemukan kamu kerana Rasulullah SAW (sendiri) tidak berkhutbah kepada kami pada hari-hari tertentu kerana risau ia menjadi sesuatu yang membosankan. (Muslim)

5. Memberi syarahan ringkas setelah solat

Rasulullah SAW biasa memberi syarahan ringkas sejurus selepas solat untuk memberi penjelasan kepada orang Islam tentang sesuatu perkara atau memberi komentar. Hal ini dibuktikan oleh pelbagai hadis dari Sunnah di luar skop artikel ini.

6. Tarbiyah dengan membangkitkan persoalan

Kadang kala, Rasulullah saw bertanyakan soalan supaya menarik minat orang ramai terhadap persoalan itu. Tambahan pula, baginda kerap menggunakan kaedah ini untuk merenung kembali terminologi yang digunakan masyarakat umum dan memberikan makna baru dalam terminologi lama yang diguna pakai. Abu Hurairah meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda:

“Tahukah anda semua siapa orang yang muflis?” Mereka (para sahabat) berkata, “Orang yang muflis di kalangan kami adalah orang yang tidak miliki dirham atau harta.” Baginda bersabda, “Orang yang muflis di kalangan ummatku adalah mereka yang akan datang pada Hari Kebangkitan dengan amalan solat, puasa dan zakat namun (dia akan mendapati dirinya muflis pada hari tersebut kerana dia telah menghabiskan bekalan amalannya) disebabkan dia pernah mencaci orang lain, membawa siksa kepada yang lain, dan menumpahkan darah orang lain serta memukul yang lain, dan amalan-amalannya akan dipindahkan kepada orang lain (yang terzalimi disebabkan perbuatannya tadi). Dan sekiranya amalan-amalan kebaikannya telah habis, maka dosa-dosa (dari orang-orang yang dizaliminya) akan dipindahkan dan dimasukkan ke dalam (rekodnya) dan dia akan dicampakkan ke api neraka.” (Muslim).

ayuh, kita pratikkan apa yang diajar oleh Rasulullah s.a,w dalam mentarbiyah umat manusia dan membina peribadi mukmin sejati..insyaAllah.

semoga bermanfaat untuk =)

 

terjemahan dari onislam.net

No comments:

Post a Comment